Monday, August 2, 2010

Berhemah Dalam Menegur

‘‘Hai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada pemangku kekuasaan di antaramu. Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya.”


Firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 59 tersebut dengan jelas memperingatkan umat Islam supaya tidak membiarkan sesuatu pertelingkahan atau perbezaan pendapat itu mencetuskan perpecahan di antara mereka.

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar.

Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud;

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,

‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lPanduanTiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur. isannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Panduan

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,

‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut,
mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,

‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’'.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.

Dalam buku Ihya 'Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Bangga

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) - kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.

Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.


“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”

p/s Jadikanlah panduan kiranya dapat digunakan dalam mengendalikan kelas prasekolah. Guru dan ppm umpama aur dan tebing yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Sumber:www.iluvislam.com

Friday, July 30, 2010

Renung-renungkanlah......

Renung-renungkanlah kata-kata ini. Siapa kita sebagai seorang guru prasekolah......................


Thursday, July 29, 2010

Membentuk kemahiran membaca kanak-kanak

Kata orang bijak pandai, "Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan." Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.
Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.





Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi. Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan "mama" dan "papa". Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.

Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

* Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.
* Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.

* Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, "Ni apa?" atau "Apa tu?" Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.

Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.

Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak.

Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :

* Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.
* Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.

* Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.

* Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.

* Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.

* Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.

* Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.

* Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.

Kesan tidak tahu membaca.

Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.

Pengaruhi minat belajar. Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Tidak mahu belajar. Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar. Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.

Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk. Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.

Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba. Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang. Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun

* mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
* belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.

* kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.

* rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.

* kosa kata berkembang sehingga 270.

2 ½ hingga 4 ½ tahun

* peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
* terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.

* perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.

* kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.

* pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.

* mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.

4 ½ hingga 7 tahun

* perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
* kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.

* corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.

* mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.Walau bagaimana pun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.

Membantu kanak-kanak membaca.

Mengajar kanak-kanak berminat dengan membaca adalah sangat penting. Terdapat beberapa panduan yang mudah bagi melaksanakan usaha anda.

1. Jadikan membaca satu tabiat. Jemput kanak-kanak membaca dengan anda setiap hari. Bantu anak anda membaca dari kiri ke kanan dan memahami setiap perkataan yang dikatakannya, dari satu perkataan ke satu perkataan.

2. Bacakan buku yang sukai kanak-kanak berkali-kali. Mereka akan mempelajari perkataan baru dan mengingat cerita yang mereka sukai. Seterusnya akan diceritakan kepada rakan-rakannya pula.

3. Bacakan cerita dengan rentak perkataan yang berkaitan dan ulang beberapa kali. Contohnya perkataan "terkejut." Tunjukkan bagaimana mimik muka dan nada suara "terkejut" kepada anak anda. Tunjukkan perkataan demi perkataan sepanjang sesi membaca berkenaan.

4. Bincangkan perkataan baru dan buatkan mereka bermain-main dengan perkataan itu. Contohnya: Rumah yang besar ini adalah istana. Siapa yang kamu fikir akan tinggal di istana?Jika ada gambar, tanya apa yang dilihat dan kaitannya dengan cerita berkenaan.Bacakan buku yang mempunyai pelbagai jenis cerita kanak-kanak seperti kisah sirah nabi, kamus bergambar, puisi dan buku-buku bermaklumat yang bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.

Sumber:www.iluvislam.com